Tuesday, 4 October 2011

Taman Botanikal dimajukan

 
MOHD. Ali Rustam mengendalikan jentera jengkaut semasa merasmikan projek naik taraf Taman Botanikal menerusi peruntukan sebanyak RM30 juta di Ayer Keroh Melaka, semalam.

MELAKA 4 Okt. – Taman Botanikal di Ayer Keroh di sini yang kelihatan lesu bakal diberi wajah baru dengan menaik tarafnya supaya menjadi produk pelancongan yang lebih menarik menerusi pemberian peruntukan RM30 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, menerusi peruntukan di bawah projek fasa 11, pembangunan yang akan dibina meliputi menaik taraf seluruh landskap taman itu, membaik pulih calet, membina menara tinjau serta jalan baru dan menaik taraf sistem pencahayaan.
Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk pembinaan Taman Burung terbesar di Asia di kawasan seluas 1.8 hektar melibatkan kos sebanyak RM16 juta.
“Taman burung ini adalah produk yang bakal menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara memandangkan ia satu-satunya taman burung terbesar di Asia berbanding Jurong Bird Park di Singapura.
“Ia mampu mempopularkan semula Taman Botanikal kerana menempatkan kira-kira 300 spesies burung dan enam burung kakak tua serta beberapa spesies dari rantau Asia,” katanya selepas majlis pecah tanah pembangunan landskap dan kemudahan pelancongan taman itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Sapiah Haron dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad.
Mohd. Ali berkata, pembangunan Taman Botanikal dan Taman Burung meliputi kawasan seluas 92.5 hektar itu adalah menerusi peruntukan daripada Kementerian Pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang akan diselaraskan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).
Beliau menambah, kerja-kerja pembinaan akan dijalankan oleh Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn. Bhd. dan diselia oleh MPHTJ.
“Kerajaan negeri memberi tempoh 20 bulan untuk pembangunan Taman Botanikal dan Taman Burung untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya lagi.
Bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar, beliau meminta MPHTJ memantau kontraktor agar mereka dapat melaksanakan kerja dengan sempurna.

Sumber : Utusan Malaysia, 05 Oktober 2011

No comments:

Post a Comment