Sunday 9 October 2011

Atasi Kelemahan operasi bas awam

 


MELAKA 9 Okt. - Melaka memperkenalkan penubuhan Jabatan Pengangkutan Awam Melaka dalam usaha mengatasi kelemahan sistem operasi pengangkutan bas awam di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini yang turut melibatkan penjenamaan semula Bas Panorama Melaka yang diperkenalkan sejak lebih empat tahun lalu.
Menurutnya, keputusan itu telah dipersetujui kesemua 13 syarikat operator bas awam dan jabatan itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad.
''Bagi melancarkan lagi pelaksanaan jabatan ini, ia juga akan dianggotai Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Datuk Zainal Husin dan Pengarah Majlis Keselamatan Jalan Raya Melaka, Juliana Ong sebagai Pengurus Operasi jabatan itu," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, jabatan itu akan bertindak menyelaras operasi sistem pengangkutan dan pada masa yang sama, semua operator bas awam terlibat menjalankan operasi bas seperti biasa namun disyaratkan menggunakan hanya satu jenama bas iaitu Bas Panorama Melaka berwarna merah.
''Jika di Kuala Lumpur, sistem pengangkutan bas awam hanya menggunakan satu jenama iaitu RapidKL manakala di Pulau Pinang dengan RapidPenang, jadi di Melaka, kita akan gunakan satu sahaja jenama bas iaitu Bas Panorama Melaka," katanya.
Usaha mewujudkan jabatan tersebut, kata beliau, bertujuan menangani masalah 90 peratus bas awam di negeri ini yang semakin uzur dengan beroperasi melebihi tempoh 15 tahun.
Kata Mohd. Ali, sebagai permulaan, sebanyak 65 bas sedia ada akan dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM30 juta melalui pinjaman Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
Jelasnya, kerajaan negeri terpaksa membuat pinjaman tersebut memandangkan permohonan bantuan kewangan berjumlah RM36 juta melalui Tabung Pengangkutan Awam Negara masih belum diperoleh memandangkan kelulusan mengenainya belum dilaksanakan di peringkat Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri turut memberi subsidi minyak kepada operator bas mengikut laluan masing-masing yang ditetapkan oleh jabatan nanti iaitu RM1 bagi bagi setiap kilometer dengan jarak keseluruhan sejauh 15,000 kilometer.
''Subsidi tersebut melibatkan kos sebanyak RM45 sebulan atau RM5.4 juta setahun melalui dana sumbangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya sebanyak RM1.5 juta, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Alor Gajah, masing-masing berjumlah RM1 juta," katanya

Tuesday 4 October 2011

Taman Botanikal dimajukan

 
MOHD. Ali Rustam mengendalikan jentera jengkaut semasa merasmikan projek naik taraf Taman Botanikal menerusi peruntukan sebanyak RM30 juta di Ayer Keroh Melaka, semalam.

MELAKA 4 Okt. – Taman Botanikal di Ayer Keroh di sini yang kelihatan lesu bakal diberi wajah baru dengan menaik tarafnya supaya menjadi produk pelancongan yang lebih menarik menerusi pemberian peruntukan RM30 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, menerusi peruntukan di bawah projek fasa 11, pembangunan yang akan dibina meliputi menaik taraf seluruh landskap taman itu, membaik pulih calet, membina menara tinjau serta jalan baru dan menaik taraf sistem pencahayaan.
Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk pembinaan Taman Burung terbesar di Asia di kawasan seluas 1.8 hektar melibatkan kos sebanyak RM16 juta.
“Taman burung ini adalah produk yang bakal menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara memandangkan ia satu-satunya taman burung terbesar di Asia berbanding Jurong Bird Park di Singapura.
“Ia mampu mempopularkan semula Taman Botanikal kerana menempatkan kira-kira 300 spesies burung dan enam burung kakak tua serta beberapa spesies dari rantau Asia,” katanya selepas majlis pecah tanah pembangunan landskap dan kemudahan pelancongan taman itu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Sapiah Haron dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad.
Mohd. Ali berkata, pembangunan Taman Botanikal dan Taman Burung meliputi kawasan seluas 92.5 hektar itu adalah menerusi peruntukan daripada Kementerian Pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang akan diselaraskan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).
Beliau menambah, kerja-kerja pembinaan akan dijalankan oleh Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn. Bhd. dan diselia oleh MPHTJ.
“Kerajaan negeri memberi tempoh 20 bulan untuk pembangunan Taman Botanikal dan Taman Burung untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya lagi.
Bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar, beliau meminta MPHTJ memantau kontraktor agar mereka dapat melaksanakan kerja dengan sempurna.

Sumber : Utusan Malaysia, 05 Oktober 2011

Monday 3 October 2011

Titisan darah jejak mangsa

 

GOMBAK: Kesan titisan darah ditemui di atas lantai yang dijejaki polis berjaya menemui wanita dipercayai bertanggungjawab mencampakkan bayi perempuannya yang masih bertali pusat dari tingkat dua sebuah flat di Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru, di sini, semalam.
Ini berikutan laporan penemuan bayi cukup sifat baru dilahirkan itu dalam keadaan tertiarap dalam longkang.
Dalam kejadian jam 7.46 pagi itu, sepasukan anggota polis yang menerima maklumat penduduk mengenai penemuan mayat bayi itu bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan wanita terbabit yang sedang bersiap untuk ke tempat kerja di sebuah restoran di Bandar Baru Selayang.

Pada mulanya, remaja berusia 19 tahun yang belum berkahwin itu dikatakan enggan mengaku melakukan perbuatan itu, namun polis yang curiga dengan jawapannya terus mendesak terutama selepas menemui kain baru dibasuh yang mempunyai kesan darah, namun suspek memberi alasan itu adalah darah haid.


Bagaimanapun, selepas majikan dan rakan sekerja suspek ke tempat kejadian dan bertanyakan hal sebenar, akhirnya wanita itu yang gagal mengawal perasaan terus menangis sebelum mengaku bertanggungjawab mencampakkan bayi berkenaan dari tingkat dua kediaman itu ke dalam longkang.

Sumber : Harian Metro, 04 Oktober 2011

Thursday 29 September 2011

Beckham Koma Dihentak

Tidur terus tak bangun


DERITA...‘Beckham’ koma akibat pendarahan dalam otak.


SUBANG JAYA: “Luluh hati saya apabila doktor mengesahkan anak tunggal mengalami pendarahan dalam otak mungkin akibat hentakan atau gegaran kuat,” kata bapa kepada seorang bayi berusia tujuh bulan yang tidak sedarkan diri, sejak Isnin lalu.
Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Megat, 29, berkata, bayi lelakinya yang diberi jolokan ‘Beckham’ oleh jururawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di sini, tidak sedarkan diri selepas ditidurkan pengasuhnya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.
Selepas Beckham gagal dikejutkan dari tidur, pengasuh menghubungi Megat di pejabatnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira jam 4.30 petang, sebelum bayi itu dikejarkan ke hospital berhampiran.

Menceritakan kejadian itu, Megat berkata, pada pagi kejadian, dia menghantar anak lelakinya itu ke pusat asuhan itu seperti biasa.


Menurutnya, ibu mangsa yang berusia 29 tahun kerap menghubungi pusat asuhan itu bagi mengetahui keadaan anak tunggal mereka dan membuat panggilan terakhir kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian sebelum diberitahu pengasuh sedang memberikannya susu untuk tidur.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 4.30 petang, seorang pengasuh di pusat itu menghubungi saya dan memberitahu anak kami tidak bangun-bangun selepas ditidurkan,” katanya ketika ditemui Harian Metro semalam.

Sumber : Harian Metro, 30 September 2011

Tuesday 27 September 2011

Arab City Di Melaka

Sumber : Harian Metro
Rabu, 28 Sept 2011


GOLDEN Corporate Heritage Sdn Bhd (GCH) yakin pembangunan Arab City Melaka yang pertama di negara ini akan menarik lebih 8.9 juta pelancong apabila projek fasa pertamanya iaitu Arabian Oasis di Pulau Melaka seluas 1.62 hektar siap sepenuhnya dalam tempoh 16 minggu lagi.
Pengarahnya, Dr Salim N Al Gudhea berkata, keunikan Arabian Oasis yang berhadapan laut memberi peluang kepada pengunjung menikmati aktiviti yang disediakan seperti pertunjukan kebudayaan Arab, berenang, memancing dan sukan air.

Beliau berkata, selain menampilkan pembangunan unik Arab City Melaka, kawasan itu dilihat berpotensi untuk pertumbuhan perniagaan dan peruncitan berikutan ia dilengkapi dengan 123 ruang niaga serta lebih tujuh restoran dan kafe.
“Kami yakin Arab City Melaka akan menyediakan prospek perniagaan terbaik dan kerajaan negeri Melaka turut menyasarkan peningkatan sebanyak 13 peratus jumlah pelancong yang akan berkunjung ke Melaka terutama didorong pembangunan berterusan.

“Kami memilih untuk melabur di Melaka kerana ia bandar warisan dan warga Arab adalah antara pedagang pertama ke Melaka sejak abad ke-15 dan paling penting Arab City adalah pertama di dunia serta dapat mempromosikan Melaka di lebih 20 negara Arab,” katanya pada taklimat Arab City Melaka, di Kuala Lumpur, semalam.

Salim berkata, Arab City Melaka akan dibuka pada Mac 2012 dan antara tarikan menarik ialah muzium Mesir, taman tema, teater dan pelbagai lagi aktiviti yang berkaitan budaya masyarakat Arab.
GCH syarikat usaha sama antara Dubai, Arab Saudi dan rakan usaha sama Malaysia. Syarikat itu mempunyai pejabat cawangan di Dubai, Arab Saudi dan Mesir dengan bergiat dalam sektor hartanah, dagangan dan perniagaan minyak dan gas

Link ; http://www.hmetro.com.my/articles/ArabCitydiMelaka/Article

Melaka Negeri Bebas Asap Rokok


Melaka bebas asap rokok menjelang 2013

MELAKA 11 Ogos - Jabatan Kesihatan negeri akan menggerakkan kempen besar-besaran bagi menjadikan negeri ini sebagai Zon Bebas Asap Rokok menjelang 2013.
Pengarahnya, Datuk Azmi Hashim berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya telah memberi tumpuan mewujudkan zon tersebut di empat lokasi utama di bandar raya ini.
Menurutnya, empat lokasi terbabit adalah kawasan warisan di Banda Hilir, sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), bandar Jasin dan tempat awam di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
''Setakat ini, kita telah mewartakan empat kawasan tersebut sebagai Zon Bebas Asap Rokok dan selepas ini ia akan disusuli beberapa kawasan tumpuan orang ramai di beberapa tempat di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis taklimat Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini semalam.
Kira-kira 19 NGO mewakili pelbagai persatuan antaranya Persatuan Bagi Mencegah Batuk Kering Malaysia, Persatuan Pendokong Berhenti Merokok dan Persatuan Joging Negeri Melaka menghadiri taklimat tersebut.
Taklimat itu telah disampaikan Timbalan Pengarah Kesihatan Awam negeri, Dr. Ghazali Othman.
Mengulas lanjut Azmi berkata, pada masa ini, pelaksanaan Zon Bebas Asap Rokok di empat kawasan tersebut hanya berkuat kuasa di dalam bangunan dan tempat-tempat menjadi tumpuan orang ramai.
Bagi mencapai tujuan tersebut, beliau menambah, anggota penguat kuasa jabatan itu telah ditempatkan di empat lokasi berkenaan bagi memastikan orang ramai mematuhi larangan merokok di kawasan tersebut.
Penguatkuasaan itu, katanya, turut melibatkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), MPAG, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Begitupun kata Azmi, orang ramai masih dibenarkan merokok di kawasan tertentu atau di kaki lima jalan khususnya yang bukan menjadi tempat tumpuan orang ramai.
''Sepanjang tempoh tiga tahun menjelang 2013 kita akan memperhebatkan usaha untuk mewartakan lebih banyak lagi kawasan sebagai Zon Bebas Asap Rokok," katanya.
Di samping itu, tambah beliau, pihaknya akan mempertimbangkan permohonan daripada beberapa NGO yang memohon kad kuasa bagi membolehkan mereka menegur orang awam yang merokok di kawasan zon bebas rokok.

Sumber : Utusan Malaysia, Edisi 11 Ogos 2010

Friday 23 September 2011

Tahukah Anda.....

RESTORAN T-BOWL

Restoran yang berkonsepkan tandas. Ianya terletak di Taman Melaka Raya..
Makanan yg mereka ketengahkan tak tau le pulak camner... Coz tak cuba lagi....
Silalah lawat http://www.tbowl.com.my/ utk maklumat lanjut mengenai restoran ini.
Silalah dtg...



Sila komen dan nyatakan pendapat anda mengenai konsep dan pendekatan restoran ini....