Rabu, 28 Sept 2011
GOLDEN Corporate Heritage Sdn Bhd (GCH) yakin pembangunan Arab City Melaka yang pertama di negara ini akan menarik lebih 8.9 juta pelancong apabila projek fasa pertamanya iaitu Arabian Oasis di Pulau Melaka seluas 1.62 hektar siap sepenuhnya dalam tempoh 16 minggu lagi.
Pengarahnya, Dr Salim N Al Gudhea berkata, keunikan Arabian Oasis yang berhadapan laut memberi peluang kepada pengunjung menikmati aktiviti yang disediakan seperti pertunjukan kebudayaan Arab, berenang, memancing dan sukan air.
Beliau berkata, selain menampilkan pembangunan unik Arab City Melaka, kawasan itu dilihat berpotensi untuk pertumbuhan perniagaan dan peruncitan berikutan ia dilengkapi dengan 123 ruang niaga serta lebih tujuh restoran dan kafe.
“Kami yakin Arab City Melaka akan menyediakan prospek perniagaan terbaik dan kerajaan negeri Melaka turut menyasarkan peningkatan sebanyak 13 peratus jumlah pelancong yang akan berkunjung ke Melaka terutama didorong pembangunan berterusan.
“Kami memilih untuk melabur di Melaka kerana ia bandar warisan dan warga Arab adalah antara pedagang pertama ke Melaka sejak abad ke-15 dan paling penting Arab City adalah pertama di dunia serta dapat mempromosikan Melaka di lebih 20 negara Arab,” katanya pada taklimat Arab City Melaka, di Kuala Lumpur, semalam.
Salim berkata, Arab City Melaka akan dibuka pada Mac 2012 dan antara tarikan menarik ialah muzium Mesir, taman tema, teater dan pelbagai lagi aktiviti yang berkaitan budaya masyarakat Arab.
GCH syarikat usaha sama antara Dubai, Arab Saudi dan rakan usaha sama Malaysia. Syarikat itu mempunyai pejabat cawangan di Dubai, Arab Saudi dan Mesir dengan bergiat dalam sektor hartanah, dagangan dan perniagaan minyak dan gas
Link ; http://www.hmetro.com.my/articles/ArabCitydiMelaka/Article
No comments:
Post a Comment