Tuesday, 27 September 2011

Melaka Negeri Bebas Asap Rokok


Melaka bebas asap rokok menjelang 2013

MELAKA 11 Ogos - Jabatan Kesihatan negeri akan menggerakkan kempen besar-besaran bagi menjadikan negeri ini sebagai Zon Bebas Asap Rokok menjelang 2013.
Pengarahnya, Datuk Azmi Hashim berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya telah memberi tumpuan mewujudkan zon tersebut di empat lokasi utama di bandar raya ini.
Menurutnya, empat lokasi terbabit adalah kawasan warisan di Banda Hilir, sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), bandar Jasin dan tempat awam di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
''Setakat ini, kita telah mewartakan empat kawasan tersebut sebagai Zon Bebas Asap Rokok dan selepas ini ia akan disusuli beberapa kawasan tumpuan orang ramai di beberapa tempat di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis taklimat Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini semalam.
Kira-kira 19 NGO mewakili pelbagai persatuan antaranya Persatuan Bagi Mencegah Batuk Kering Malaysia, Persatuan Pendokong Berhenti Merokok dan Persatuan Joging Negeri Melaka menghadiri taklimat tersebut.
Taklimat itu telah disampaikan Timbalan Pengarah Kesihatan Awam negeri, Dr. Ghazali Othman.
Mengulas lanjut Azmi berkata, pada masa ini, pelaksanaan Zon Bebas Asap Rokok di empat kawasan tersebut hanya berkuat kuasa di dalam bangunan dan tempat-tempat menjadi tumpuan orang ramai.
Bagi mencapai tujuan tersebut, beliau menambah, anggota penguat kuasa jabatan itu telah ditempatkan di empat lokasi berkenaan bagi memastikan orang ramai mematuhi larangan merokok di kawasan tersebut.
Penguatkuasaan itu, katanya, turut melibatkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), MPAG, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Begitupun kata Azmi, orang ramai masih dibenarkan merokok di kawasan tertentu atau di kaki lima jalan khususnya yang bukan menjadi tempat tumpuan orang ramai.
''Sepanjang tempoh tiga tahun menjelang 2013 kita akan memperhebatkan usaha untuk mewartakan lebih banyak lagi kawasan sebagai Zon Bebas Asap Rokok," katanya.
Di samping itu, tambah beliau, pihaknya akan mempertimbangkan permohonan daripada beberapa NGO yang memohon kad kuasa bagi membolehkan mereka menegur orang awam yang merokok di kawasan zon bebas rokok.

Sumber : Utusan Malaysia, Edisi 11 Ogos 2010

No comments:

Post a Comment